Sunday, October 30, 2011
Ibu.
Mana Mak?'
Jam 6.30 petang.
Mak berdiri di depan pintu. Wajah Mak kelihatan resah. Mak tunggu adik bungsu balik dari sekolah agama.
Ayah baru balik dari sawah.
Ayah tanya Mak, “Along mana?’
Mak jawab, “Ada di dapur tolong siapkan makan.”
Ayah tanya Mak lagi,” Angah mana?”
Mak jawab, “Angah mandi, baru balik main bola.”
Ayah tanya Mak, “Ateh mana?”
Mak jawab, “Ateh, Kak Cik tengok tv dengan Alang di dalam?”
Ayah tanya lagi, “Adik dah balik?”
Mak jawab, “Belum. Patutnya dah balik. Basikal adik rosak kot. Kejap lagi kalau tak balik juga jom kita pergi cari Adik.”
Mak jawab soalan ayah penuh yakin. Tiap-tiap hari ayah tanya soalan yang sama. Mak jawab penuh perhatian. Mak ambil berat di mana anak-anak Mak dan bagaimana keadaan anak-anak Mak setiap masa dan setiap ketika.
Dua puluh tahun kemudian
Jam 6.30 petang
Ayah balik ke rumah. Baju ayah basah. Hujan turun sejak tengahari.
Ayah tanya Along, “Mana Mak?”
Along sedang membelek-belek baju barunya. Along jawab, “Tak tahu.”
Ayah tanya Angah, “Mana Mak?”
Angah menonton tv. Angah jawab, “Mana Angah tahu.”
Ayah tanya Ateh, “Mana Mak?”
Ayah menunggu lama jawapan dari Ateh yang asyik membaca majalah.
Ayah tanya Ateh lagi, "Mana Mak?"
Ateh menjawab, “Entah.”
Ateh terus membaca majalah tanpa menoleh kepada Ayah.
Ayah tanya Alang, “Mana Mak?”
Alang tidak jawab. Alang hanya mengoncang bahu tanda tidak tahu.
Ayah tidak mahu tanya Kak Cik dan Adik yang sedang melayan facebook. Ayah tahu yang Ayah tidak akan dapat jawapan yang ayah mahu.
Tidak ada siapa tahu di mana Mak. Tidak ada siapa merasa ingin tahu di mana Mak. Mata dan hati anak-anak Mak tidak pada Mak. Hanya mata dan hati Ayah yang mencari-cari di mana Mak.
Tidak ada anak-anak Mak yang tahu setiap kali ayah bertanya, "Mana Mak?"
Tiba-tiba adik bungsu bersuara, “Mak ni dah senja-senja pun merayap lagi. Tak reti nak balik!!”
Tersentap hati Ayah mendengar kata-kata Adik.
Dulu anak-anak Mak akan berlari mendakap Mak apabila balik dari sekolah. Mereka akan tanya "Mana Mak?" apabila Mak tidak menunggu mereka di depan pintu.
Mereka akan tanya, "Mana Mak." Apabila dapat nombor 1 atau kaki melecet main bola di padang sekolah. Mak resah apabila anak-anak Mak lambat balik. Mak mahu tahu di mana semua anak-anaknya berada setiap waktu dan setiap ketika.
Sekarang anak-anak sudah besar. Sudah lama anak-anak Mak tidak bertanya 'Mana Mak?"
Semakin anak-anak Mak besar, soalan "Mana Mak?" semakin hilang dari bibir anak-anak Mak .
Ayah berdiri di depan pintu menunggu Mak. Ayah resah menunggu Mak kerana sudah senja sebegini Mak masih belum balik. Ayah risau kerana sejak akhir-akhir ini Mak selalu mengadu sakit lutut.
Dari jauh kelihatan sosok Mak berjalan memakai payung yang sudah uzur. Besi-besi payung tercacak keluar dari kainnya. Hujan masih belum berhenti. Mak menjinjit dua bungkusan plastik. Sudah kebiasaan bagi Mak, Mak akan bawa sesuatu untuk anak-anak Mak apabila pulang dari berjalan.
Sampai di halaman rumah Mak berhenti di depan deretan kereta anak-anak Mak. Mak buangkan daun-daun yang mengotori kereta anak-anak Mak. Mak usap bahagian depan kereta Ateh perlahan-lahan. Mak rasakan seperti mengusap kepala Ateh waktu Ateh kecil. Mak senyum. Kedua bibir Mak diketap repat. Senyum tertahan, hanya Ayah yang faham. Sekarang Mak tidak dapat lagi merasa mengusap kepala anak-anak seperti masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka sudah besar. Mak takut anak Mak akan menepis tangan Mak kalau Mak lakukannya.
Lima buah kereta milik anak-anak Mak berdiri megah. Kereta Ateh paling gah. Mak tidak tahu pun apa kehebatan kereta Ateh itu. Mak cuma suka warnanya. Kereta warna merah bata, warna kesukaan Mak. Mak belum merasa naik kereta anak Mak yang ini.
Baju mak basah kena hujan. Ayah tutupkan payung mak. Mak bagi salam. Salam Mak tidak berjawab. Terketar-ketar lutut Mak melangkah anak tangga. Ayah pimpin Mak masuk ke rumah. Lutut Mak sakit lagi.
Mak letakkan bungkusan di atas meja. Sebungkus rebung dan sebungkus kueh koci pemberian Mak Uda untuk anak-anak Mak. Mak Uda tahu anak-anak Mak suka makan kueh koci dan Mak malu untuk meminta untuk bawa balik. Namun raut wajah Mak sudah cukup membuat Mak Uda faham.
Semasa menerima bungkusan kueh koci dari Mak Uda tadi, Mak sempat berkata kepada Mak Uda, "Wah berebutlah budak-budak tu nanti nampak kueh koci kamu ni."
Sekurang-kurangnya itulah bayangan Mak. Mak bayangkan anak-anak Mak sedang gembira menikmati kueh koci sebagimana masa anak-anak Mak kecil dulu. Mereka berebut dan Mak jadi hakim pembuat keputusan muktamat. Sering kali Mak akan beri bahagian Mak supaya anak-anak Mak puas makan. Bayangan itu sering singgah di kepala Mak.
Ayah suruh Mak tukar baju yang basah itu. Mak akur.
Selepas Mak tukar baju, Ayah iring Mak ke dapur. Mak ajak anak-anak Mak makan kueh koci. Tidak seorang pun yang menoleh kepada Mak. Mata dan hati anak-anak Mak sudah bukan pada Mak lagi.
Mak hanya tunduk, akur dengan keadaan.
Ayah tahu Mak sudah tidak boleh mengharapkan anak-anak melompat-lompat gembira dan berlari mendakapnya seperti dulu.
Ayah temankan Mak makan. Mak menyuap nasi perlahan-lahan, masih mengharapkan anak-anak Mak akan makan bersama. Setiap hari Mak berharap begitu. Hanya Ayah yang duduk bersama Mak di meja makan setiap malam.
Ayah tahu Mak penat sebab berjalan jauh. Siang tadi Mak pergi ke rumah Mak Uda di kampung seberang untuk mencari rebung. Mak hendak masak rebung masak lemak cili api dengan ikan masin kesukaan anak-anak Mak.
Ayah tanya Mak kenapa Mak tidak telepon suruh anak-anak jemput. Mak jawab, "Saya dah suruh Uda telepon budak-budak ni tadi. Tapi Uda kata semua tak berangkat."
Mak minta Mak Uda telepon anak-anak yang Mak tidak boleh berjalan balik sebab hujan. Lutut Mak akan sakit kalau sejuk. Ada sedikit harapan di hati Mak agar salah seorang anak Mak akan menjemput Mak dengan kereta. Mak teringin kalau Ateh yang datang menjemput Mak dengan kereta barunya. Tidak ada siapa yang datang jemput Mak.
Mak tahu anak-anak mak tidak sedar telepon berbunyi. Mak ingat kata-kata ayah, “Kita tak usah susahkan anak-anak. Selagi kita mampu kita buat saja sendiri apa-apa pun. Mereka ada kehidupan masing-masing. Tak payah sedih-sedih. Maafkan sajalah anak-anak kita. Tak apalah kalau tak merasa menaiki kereta mereka sekarang. Nanti kalau kita mati kita masih ada peluang merasa anak-anak mengangkat kita kat bahu mereka.”
Mak faham buah hati Mak semua sudah besar. Along dan Angah sudah beristeri. Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik masing-masing sudah punya buah hati sendiri yang sudah mengambil tempat Mak di hati anak-anak Mak.
Pada suapan terakhir, setitik air mata Mak jatuh ke pinggan.
Kueh koci masih belum diusik oleh anak-anak Mak.
Beberapa tahun kemudian
Mak Uda tanya Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik, “Mana mak?”.
Hanya Adik yang jawab, “Mak dah tak ada.”
Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik tidak sempat melihat Mak waktu Mak sakit.
Kini Mak sudah berada di sisi Tuhannya bukan di sisi anak-anak Mak lagi.
Dalam isakan tangis, Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik menerpa kubur Mak. Hanya batu nisan yang berdiri terpacak. Batu nisan Mak tidak boleh bersuara. Batu nisan tidak ada tangan macam tangan Mak yang selalu memeluk erat anak-anaknya apabila anak-anak datang menerpa Mak semasa anak-anak Mak kecil dulu.
Mak pergi semasa Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik berada jauh di bandar. Kata Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik mereka tidak dengar handphone berbunyi semasa ayah telepon untuk beritahu mak sakit tenat.
Mak faham, mata dan telinga anak-anak Mak adalah untuk orang lain bukan untuk Mak.
Hati anak-anak Mak bukan milik Mak lagi. Hanya hati Mak yang tidak pernah diberikan kepada sesiapa, hanya untuk anak-anak Mak..
Mak tidak sempat merasa diangkat di atas bahu anak-anak Mak. Hanya bahu ayah yang sempat mengangkat jenazah Mak dalam hujan renyai.
Ayah sedih sebab tiada lagi suara Mak yang akan menjawab soalan Ayah,
"Mana Along?" , "Mana Angah?", "Mana Ateh?", "Mana Alang?", "Mana Kak Cik?" atau "Mana Adik?". Hanya Mak saja yang rajin menjawab soalan ayah itu dan jawapan Mak memang tidak pernah silap. Mak sentiasa yakin dengan jawapannya sebab mak ambil tahu di mana anak-anaknya berada pada setiap waktu dan setiap ketika. Anak-anak Mak sentiasa di hati Mak tetapi hati anak-anak Mak ada orang lain yang mengisinya.
Ayah sedih. Di tepi kubur Mak, Ayah bermonolog sendiri, "Mulai hari ini tidak perlu bertanya lagi kepada Along, Angah, Ateh, Alang, Kak Cik dan Adik , "Mana mak?" "
Kereta merah Ateh bergerak perlahan membawa Ayah pulang. Along, Angah, Alang dan Adik mengikut dari belakang. Hati ayah hancur teringat hajat Mak untuk naik kereta merah Ateh tidak kesampaian. Ayah terbayang kata-kata Mak malam itu, "Cantiknya kereta Ateh, kan Bang? Besok-besok Ateh bawalah kita jalan-jalan kat Kuala Lumpur tu. Saya akan buat kueh koci buat bekal."
"Ayah, ayah....bangun." Suara Ateh memanggil ayah. Ayah pengsan sewaktu turun dari kereta Ateh..
Terketar-ketar ayah bersuara, "Mana Mak?"
Ayah tidak mampu berhenti menanya soalan itu. Sudah 10 tahun Mak pergi namun soalan "Mana Mak?" masih sering keluar dari mulut Ayah sehingga ke akhir usia.
Sebuah cerita pendek buat tatapan anak-anak. Kata orang hidup seorang ibu waktu muda dilambung resah, apabila tua dilambung rasa. Kata Rasulullah saw. ibu 3 kali lebih utama dari ayah. Bayangkanlah berapa kali ibu lebih utama dari isteri, pekerjaan dan anak-anak sebenarnya. Solat sunat pun Allah suruh berhenti apabila ibu memanggil. Berapa kerapkah kita membiarkan deringan telepon panggilan dari ibu tanpa berjawab?
Thursday, October 27, 2011
Kehangatan dalam perkhawinan.

DALAM perkahwinan, keintiman antara pasangan adalah perkara asas dalam membentuk keharmonian rumah tangga.
Keintiman akan hadir jika kita sama-sama saling mengambil berat dan bertolak ansur antara satu sama lain. Lantas, ia membina kekuatan dan keteguhan dalam sesebuah ikatan perkahwinan.
Selain itu, kepercayaan memainkan peranan penting dalam sesebuah ikatan perkahwinan. Isteri haruslah mempercayai tentang kebolehan dan usaha pasangan dalam melakukan sesuatu perkara serta jangan menolak pandangan pasangan jika ada rasionalnya.
Biarpun anda dan pasangan masing-masing sibuk dengan tugasan, namun cubalah mencuri masa untuk bersemuka. Setidak-tidaknya berilah masa selama 20 minit untuk bersembang dengannya. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi masing-masing.
Di sini terdapat 15 tip mudah untuk menyatakan "Aku cinta padamu" untuk tujuan mengeratkan lagi hubungan suami isteri walaupun dalam keadaan yang sibuk.
1. Belai pasangan anda dengan ciuman manja sebagai tanda penghargaan diri anda kepada dirinya, malah senyuman juga memain peranan penting dalam meneruskan perjalanan awal untuk mencipta hubungan antara pasangan. Biarkan mata anda berkelip-kelip manja sebagai tanda anda terlalu merindui dirinya.
2. Hangatkan hubungan cinta anda dengan si dia dengan memberi kejutan ciuman di lehernya semasa si dia membuat kerja-kerja di meja komputer ketika sedang berehat di rumah.
3. Sesekali ketika bersantai di rumah bersama si dia, apa salahnya, berikan urutan kepadanya, lagipun bukan untuk orang lain tetapi kepada insan yang kita disayangi. Berikan ciuman romantik atau tunjukkan mesej melalui isyarat badan terhadap si dia.
Pada ketika itu berbual bersama-sama. Biarpun masing-masing sibuk dengan tugasan, cubalah mencuri masa untuk bersemuka dengan berkongsi cerita bersama. Cara ini membolehkan anda memahami perasaan dan hati budi si dia .
4. Walaupun telah berkahwin dan memiliki anak, tidak salah untuk menyatakan ucapan cinta dan sesekali apa salahnya tinggalkan pesanan ringkas pada si dia, mungkin ia boleh mengimbau kembali zaman percintaan anda suatu ketika dulu.
5. Luahkan kata-kata cinta anda kepada si dia untuk menghangat keintiman hubungan anda.
6. Buktikan kasih sayang anda kepada si dia, tulislah surat dengan menyatakan anda berbangga dengan pencapaian dirinya. Ini kerana kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang lebih-lebih lagi daripada isterinya.
Atau anda boleh menulis kepadanya menyatakan sesuatu tentang kelebihan dirinya. Letakkan ayat-ayat 'cinta ' itu di dalam dompet tangan atau beg kerja untuk memberi kejutan pada dirinya.
7. Buktikan perasaan cinta anda pada si dia, berikan dia satu ciuman romantik diikuti dengan pelukan sebagai tanda penghargaan diri. Setiap pasangan sentiasa inginkan dirinya dibelai dan disayangi.
8. Usah malu dengan si dia, peluklah si dia dengan pelukan erat, luahkan kata-kata cinta kepadanya dan berikan ciuman romantik untuknya.
9. Kebanyakan lelaki gemarkan pujian daripada seseorang, lebih-lebih lagi daripada isterinya. Sambil itu si isteri bolehlah menepuk bahu si suami sebagai tanda memuji kehebatan dirinya.
10. Luahkan pada pasangan anda, bahawa anda bangga dengan kehebatan si dia, tunjukkan rasa hormat anda terhadap si dia agar ikatan percintaan menjadi lebih intim.
Sebagai contoh, anda mungkin berkata, ''Anda seorang yang hebat'' atau "Saya sungguh menghargai bagaimana susahnya kerja dalam memberi kesempurnaan kepada keluarga kita"..
11. Apabila membeli barang, belikan sesuatu kepada si dia sebagai tanda anda mencintai dirinya.
12. Dapatkan persetujuan bersama ketika membuat keputusan bersama si dia. Kadang-kadang si dia akan berasa marah dan tidak suka sikap si isteri cuba menukar sesuatu jadual mahupun kehendaknya.
Ini boleh membangkitkan kemarahan si dia, dalam hal ini si isteri perlu bersabar dengan kemahuan si dia.
13. Isteri haruslah menunjukkan rasa hormat terhadap suami, jangan sesekali melakukan perkara-perkara negatif, ketika membeli-belah contohnya, cuba dapatkan pandangannya.
Contohnya ketika membeli kad ucapan untuk kad hari jadi, cubalah minta pandangan si dia untuk membuat pilihan. Hal ini akan membuatkan si dia merasakan dia mempunyai hak terhadap diri anda.
14. Ketika masa lapang, gunakan bahan-bahan terbuang untuk melukis bentuk dua keping hati disambungkan bersama dengan nama-nama anda pada hati itu dan menulis "aku cinta padamu" terhadap si dia.
15. Cuba hasilkan sajak-sajak cinta kepada si dia untuk menyatakan isi hati anda.
diari seorang isteri kepada suaminya yang tercinta.
Aduh…sakitnyer. ..isk…. . aduuh….Bang sakit nye tak tahan saya” keluh Nisa pada suaminya Zakri.
“Apelah awak nie….lama sangat nak bersalin dah berjam-jam dah tak keluar-keluar juga. Penat dah saya tunggu. Nih mesti ader benda yang tak elok awak buat , itu lah sebab lambat keluar budak tu banyak dosa la tu” rungut Zakri pd Nisa.
Nisa hanya diam dan menahan sakit nak beranak, hampir 1 jam Nisa dalam bilik bersalin tapi baby tak keluar juga. Sebak hati Nisa bila Zakri berkata begitu. Sejak mengandung ada sahaja yang tidak kena dihati Zakri terhadapnya. Seakan-akan membenci Nisa dan anak yang dikandungnya. Jururawat datang memeriksa dan kemudian bergegas memanggil Doktor Johari. Doktor Johari (Doktor Peribadi) datang dan bergegas menyediakan keperluan menyambut kelahiran. Nisa hanya mendiamkan diri menahan sakit dan air mata meleleh panas dipipi bukan disebabkan takut atau sakit tapi rungutan Zakri tadi. Doktor Johari menyuruh Nisa meneran ….”Come on Nisa u can do it…once more….” Kata ransang Doktor Johari itu membuatkan Nisa bertenaga dan sekali teran sahaja kepala baby sudah keluar…”Good mummy” kata Doktor Johari selepas menyambut baby yang keluar itu.
Tiba-tiba Nisa terasa sakit lagi dan Nisa meneran untuk kali kedua dan keluar seorang lagi baby, kembar rupanya. “Nisa u got twin, boy and girl, putih macam mummy dia” kata Doktor Johari memuji Nisa. “Tahniah Zakri,it’s a twin” Doktor Johari mengucapkan tahniah kepada Zakri. Zakri hanya mendiamkan diri setelah menyaksikan kelahiran anak pertamanya, kembar pulak. Memang Doktor Johari itu menyuruhnya melihat bagaimana keadaan kelahiran anaknya. Baby boy dan girl Nisa namakan Mohammad Danial dan Nur Dania.Nisa berasa lega… tapi Nisa masih lagi teringat kata-kata Zakri padanya sebentar tadi. Terlalu banyak kata-kata yang membuat Nisa selalu kecil hati .
Tapi Nisa tahankan sahaja. Nisa tahu kalau Nisa mengadu pada emak, Nisa akan dimarahi semula. Jadi Nisa hanya diam dan memendam rasa. Danial dan Dania diletakkan di nursery di Hospital itu sementara menanti Nisa berehat kemudian dapatlah Nisa menyusukan Danial dan Dania. Comel sungguh kembar Nisa. Nisa termenung dan otak fikirannya menerbang kembali detik-detik semasa Nisa mengandungkan kandungannya, Zakri selalu memarahi Nisa, ada sahaja yang tidak kena. Kata Nisa yang bukan-bukan, gila, ada sahaja tuduhan yang tidak masuk akal semuanya dihamburkan pada Nisa.
Tak sanggup Nisa hadapi semua itu tapi demi kandungannya, Nisa kuatkan semangat dan pendirian Nisa.
Ingat lagi waktu Nisa mula mengandung Zakri tak percaya Nisa mengandung anak dia, dua kali dia membuat pemeriksaan Antenatal samada Nisa mengandung.Zakri ragu anak dalam kandungan Nisa. Dia tak boleh terima baru tiga bulan kahwin dah mengandung.. .Nisa dah 2 bulan…Nisa cuma kosong selama sebulan selepas berkahwin. Nisa tak tau nak cakap apa.
Nisa balik rumah dalam kesedihan. Pada mulanya Nisa gembira bila mengandung tapi sebaliknya pula yg terjadi. Perasaan hati Nisa bangga Nisa dapat memberi zuriat kepada Zakri. Tapi apa yang Nisa dapat hanyalah tuduhan yang tak pernah terlintas di otak jemala Nisa. “Kenapa abang berlainan sekarang ni, tak macam dulu pelembut, suka berjenaka, ni tak asyik nak cari salah Nisa sahaja. Nape Bang?”soal Nisa pada Zakri .
“Kaulah penyebabnya. Tak yah nak tunjuk baik plak” Zakri menempelak Nisa “Jantan mana yang kau layan kat opis kau tu” sergah Zakri lagi. “Abg syak Nisa ngan lelaki lain ke? Kenapa Abg syak yg bukan-bukan, Nisakan isteri Abang yang sah tak kanNisa nak buat jahat ngan orang lain pulak Bang”? terang Nisa pada Zakri. “ALLAH dah bagi kita rezeki awal,tak baik cakap cam tu. Itu semua kehendak ALLAH” Nisa senyum dan menghampiri sambil memeluk badan suaminya tetapi Zakri meleraikan pelukan Nisa dengan kasar sehingga Nisa hampir tersungkur. Nisa menangis dan sedih. Zakri buat tak tahu sahaja. Deraian airmata Nisa semakin laju.
Nisa hanya mampu menangis. Terasa dada .Nisa sakit menahan semua tohmahan dari Zakri, suaminya yang sah. “Woi, benda-benda tu bole terjadilah Nisa, kawan baik ngan bini sendiri, suami sendiri, bapak ngan anak, hah emak ngan menantu pun bole jadi tau apatah lagi macam kau nie, tau tak. Tu dulu kawan kau lama tu yang satu opis ngan kau tu, Farid, bukan main baik lagi budak tu” marah Zakri. “Entah-entah keturunan kau, darah daging kau pun tak senonoh…. heee teruk. Nasib aku la dapat bini cam engkau ni”kutuk Zakri lagi pada Nisa. “Bawa mengucap Bang, jangan tuduh saya yang bukan-bukan saya bukan perempuan tak tentu arah walaupun saya menumpang keluarga ni , saya bukan jenis macam tu saya tau akan halal haram, hukum hakam agama.
“Walaupun saya tak tau asal usul keluarga kandung saya, saya bersyukur dan berterima kasih pada emak kerana jaga saya dari kecil dah macam darah daging saya sendiri” kata Nisa pada Zakri. “Tapi Abang tak boleh hina keluarga kandung saya walaupun saya tak pernah tengok muka ayah dan mak kandung saya. Mereka lahirkan saya kedunia,”ucap Nisa sambil menangis.
Semenjak kejadian itu Nisa terpaksa mengikut Zakri ke tempat kerjanya apabila habis waktu kerja. Nisa berehat di Surau tempat Zakri bekerja. Zakri bekerja di salah sebuah Pusat membeli belah dan kerjanya mengikut shif.Kalau Zakri shif malam terpaksalah Nisa menunggu Zakri sehingga pukul 10.30 malam – 11.30 malam sehingga habis Pusat membeli belah itu tamat waktu perniagaannya. Nisa terpaksa berbohong pada emak dan keluarga lain dengan mengatakan Nisa buat overtime di pejabat. Nisa terpaksa berbuat demikian kerana tidak mahu dikata-kata dan dituduh lagi. Dengan keadaan perut semakin membesar Nisa gagahkan juga.
Tetapi kadangkala Zakri tidak menjemput Nisa di tempat kerja terpaksalah Nisa menaiki bas. Begitulah Nisa sehinggalah Nisa hampir pada waktu bersalin Nisa. Kalau diminta jemput…macam- macam kata kesat dilemparkan pada Nisa, perempuan tak tau berdikarilah, berlagak senang lah, lagak kaya lah. Pernah suatu hari Nisa naik marah kerana Zakri jemput Nisa lambat sampai sakit pinggang Nisa menunggunya. Nisa menangis. Zakri tiba-tiba naik angin dan cakap perangai Nisa macam firaun la, perempuan tak sedar dirilah, tak layak jadi isterilah, menyusahkan macam-macam kata nista dilemparkan pada Nisa.
Nisa tambah sedih mengenangkan diri Nisa, ngadu kat emak takut dimarahi pula…bila Nisa balik ke rumah, mereka berdua akan berlakun yang mereka tidak bergaduh…Nisa sedaya upaya tidak mahu menunjukkan yang masalah melanda perkahwinannya. Kasihan Nisa…dalam keadaan yang begitu Nisa masih mampu bertahan, masih kuat lagi emosinya. Satu hari Zakri dalam keadaan marah telah menarik rambut Nisa dan menghantukkan kepala Nisa ke dinding…Nisa hanya mampu menangis dan menanggung kesakitan gara-gara Nisa nak pergi ke rumah Mak Usu Nisa yang ingin mengahwinkan anaknya di Tanjung Karang. Emak Nisa dah seminggu pergi ke sana untuk menolong.
Hari dah mula petang jadi Nisa mendesak agar bertolak cepat kerana kalau hari malam nanti bahaya , “Kita nak jalan jauh ni Bang. Biarlah kita pergi awal sikit bolehlah tolong apa yang patut. Masa nilah kita nak membalas pertolongan mereka, ingat tak masa kita kahwin mereka bekerja keras kan “kata Nisa pada Zakri. Zakri ketika itu sedang berehat menonton. “Bang dengar tak ni, lagi pun hari dah mula gelap,takut plak hujan nanti”desak Nisa lagi. Tiba-tiba Zakri bangun dan mukanya bengis memandang Nisa “Kau tahu aku penatkan, tak boleh tunggu ker,suka hati aku lah nak pegi malam ke siang ke tak pegi langsung ker”marah Zakri. “Itu Nisa tau, Abang dah berehat dari pagi tadi Bang masih penat lagi, Nisa cuma nak ingatkan Abang aja”Nisa memberitahu Zakri. Zakri datang pada Nisa dan direntapnya rambut Nisa dan di hantukkannya kepala Nisa kedinding.
Nisa tak dapat buat apa. YA ALLAH sanggup Zakri berbuat demikian…terasa kebas kepala Nisa dan mula membengkak. Pening kepala Nisa dibuatnya. “YA ALLAH kau kuatkan iman aku YA ALLAH, lindungilah aku dan kandungan aku dari bahaya YA ALLAH” doa Nisa dalam hatinya. Nisa memencilkan diri Nisa disudut dinding dan menangis.Zakri kemudian duduk diam. Nisa rasa kepala Nisa macam nak pecah. Kebas masih lagi dan embengkak.. .berdenyut2. ..”Bang, Nisa minta maaf jika Nisa membuat Abang marah” Nisa memohon maaf pada Zakri sambil teresak-esak.
Treet,Treet, Treet, Treet….bunyi handphone Zakri. “Sapa plak nie sebok je…..”Rungut Zakri yang tengah sibuk berborak dengan kawan-kawan di salah sebuah caf?. “Hoi, Encik Zakri, bini ko kat wad tak gi jengok ke, apa punya laki ko nie? sindir Azlan, kawan pejabat Zakri. “Alah, dia sihat je kat wad tu, makan tanggung berak cangkung, ha,ha,ha”gelak Zakri dan kawan-kawan lain. Azlan cuma berdiam diri. “Senangnya hidup Zakri nie tak ader risau langsung pasal bini dia”cetus hati Azlan.
“Akulah kalau bini aku masuk wad bersalin aku sentiasa dok sebelah dia tau…mereka perlukan kita masa tu…nyawa mereka dihujung tanduk semata-mata nak melahirkan zuriat yang dari darah daging engkau tau, cuba fikir sikit” Azlan mengingatkan Zakri. “Iyelah, Lan, lagipun Nisa dah bersalin, selamat dah, sekarang tengah berehat laaa, apa aku nak risau lagi” jawab Zakri selamba. “Suka hati kau lah, tapi kalau ader apa-apa nanti kau jangan menyesal Zakri, sesal tak sudah nanti” kata Azlan lagi.
Treet, Treet, Treet….bunyi handphone Zakri. “Hello Zakri speaking” jawab Zakri. “Hello Zakri, Doktor Johari sini, ade masalahlah Zakri, pasal Nisa, datang segera ke hospital ye Zakri, Nisa tidak sedarkan diri…….. .”panggilan kecemasan dari Doktor Johari “Iye ke, teruk ke dia Johari , okay I atang”…tuttttttt . Zakri menamatkan perbualannya dengan Doktor Johari. “Lan. Kau kut aku, Nisa tak sedar diri …”ajak Zakri pada Lan. “Hah, tadi kau kata bini kau sihat”tanya Lan pada Zakri. “Alah jom ler cepat” desak Zakri.
“Zakri, kami tak dapat selamatkan Nisa, Nisa mengalami pendarahan otak yang serius, sebelum nie pernah tak Nisa jatuh atau…terhantuk kuat cause sebelah kanan kepalanya kelihatan bengkak dan ada tanda lebam. Mungkin kesan dah lama? tanya Doktor Johari dengan serius dan ingin penjelasan Zakri. Zakri hanya mendiamkan diri. Automatik otak Zakri teringat yang dia pernah menarik rambut Nisa dan menghantukkan kepala Nisa kedinding sekuatnya… dan selepas kejadian itu Zakri tidak pernah pun membawa Nisa ke Klinik untuk membuat pemeriksaan kepalanya dan semenjak kejadian itu Nisa sering sakit kepala yang teruk …tapi Zakri tidak pernah mengendahkan kesakitan Nisa….baginya Nisa mengada-ngada ..saja buat sakit untuk minta simpati…tetapi sebaliknya.. …Zakri hanya diam….”YA ALLAH apa aku dah buat” rasa bersalah membuat dirinya rasa menggigil…
“Doktor Zainal yang merawat Nisa kerana Nisa mengadu sakit kepala sewaktu Nisa memberi susu pada kembarnya di Nursery, sakit yang amat sangat katanya so Doktor Zainal membawa Nisa ke Lab untuk membuat scanning di kepalanya dan confirm otaknya ada darah beku tapi malangnya ia sudah ditahap yang kritikal, kami tak mampu lakukan apa-apa kerana Nisa tidak mahu di operation sebelum meminta izin dari kau Zakri, Nisa telah pergi dulu dengan tenang.Permintaan terakhir Nisa, Nisa minta kau membaca diarinya. I’m really sorry Zakri. ALLAH berkuasa Zakri kita tak dapat menghalangnya” kata Doktor Johari lalu memberikan Zakri sebuah diari yang berbalut kemas dengan kain lampin baby yang masih baru.
Zakri mengambil diari itu dan membuka setiap lembaran diari Nisa, setiap lembaran tertulis rapi tulisan Nisa dan peristiwa yang berlaku pada Nisa pada setiap hari , Zakri membacanya sepintas dan nyata keluhan,kesakitan segala luahan rasa Nisa semuanya tertera di iarinya. Dan Zakri dapati setiap peristiwa itu semuanya perlakuan buruk Zakri terhadap Nisa…”YA ALLAH kenapa aku buat Nisa begini” terdetik hati Zakri selepas membaca tiap lembaran diari Nisa. Dan terpandang oleh Zakri mukasurat akhir lembaran diari yang ditanda dengan bunga ros merah yang telah kering….membuat Zakri tertarik untuk membacanya.. . Untuk suami Nisa yang tersayang, I LOVE U Bang… “SELAMAT HARI ULANG TAHUN PERKAHWINAN YANG PERTAMA”
Assalamualaikum.
Abang,
Ingat tak bunga Ros merah ni, Abang berikan pada Nisa sewaktu mula mengenali Abang. Lama Nisa simpan bunga tu Bang…Bunga inilah lambang bermulanya perkenalan Nisa dengan Abang. Nisa benar-benar menyayangi Abang. Nisa menyimpan setiap hadiah yang abang bagi pada Nisa. Abang tak pernah tahu kan … Itulah salah satu buktinya betapa sayangnya Nisa.. Terlebih dahulu Nisa ingin sangat dengar Abang panggil Nisa AYANG seperti kita baru kahwin…Abang panggil Nisa AYANG…terasa diri dimanja bila Abang panggil Nisa cam tu…walaupun Nisa dapat merasa panggilan AYANG itu seketika sahaja. Abang dah banyak berubah. Perkataan AYANG telah hilang dan tidak kedengaran untuk Nisa lagi. Kenapa? Bencikah Abang pada Nisa? Abang…mukasurat nie khas utk Abang. Bacalah semoga Abang tahu sayangnya Nisa pada Abang. Abang ingatkan hari nie hari ulangtahun perkahwinan kita yang pertama dan Nisa hadiahkan Abang……. Danial dan Dania. Untuk Nisa tak perlulah Abang bagi kerana tak ada apa yang Nisa inginkan melainkan kasih sayang Abang pada Nisa. Nisa akan pergi mencari ketenangan dan kedamaian untuk diri Nisa. Nisa pergi untuk menemui NYA.
Nisa harap Abang akan menjaga Danial dan Dania dengan baik dan jangan sekali-kali sakiti mereka. Danial dan Dania tak tahu apa-apa. Itulah hadiah paling berharga dari diri Nisa dan mereka adalah darah daging Abang. Jangan seksa mereka. Abang boleh seksa Nisa tapi bukan mereka. Sayangilah mereka…Nisa ingin mengatakan bahawa Nisa tak ada hubungan dengan sesiapa melainkan Abang sahaja di hati Nisa. Jiwa dan raga Nisa hanya untuk Abang seorang. Terima kasih kerana Abang sudi mengahwini Nisa walaupun Nisa in cuma menumpang kasih disebuah keluarga yang menjaga Nisa dari kecil hinggalah Nisa bertemu dengan Abang dan berkahwin. Nisa harap Abang tidak akan mensia-siakan kembar kita dan Nisa tidak mahu mereka mengikut jejak kehidupan Nisa yang malangkerana menumpang kasih dari keluarga yang bukan dari darah daging nisa….tapi Nisa bersyukur kerana dapat mengecapi kasih sayang sepenuhnya dari keluarga ini. Nisa harap sangat Abang akan sentiasa memberitahu pada kembar kita yang Nisa ibunya akan sentiasa bersama disamping kembar kita, walau pun Nisa tak dapat membelai dan hanya seketika sahaja dapat mengenyangkan kembar kita dengan air susu Nisa. Berjanji pada Nisa dan ingat DANIAL dan DANIA adalah darah daging abang…Ampunkan Nisa dan halalkan segala makan minum Nisa selama setahun kita bersama. Sekiranya Abang tidak sudi menerima Danial dan Dania berilah pada emak Nisa supaya emak menjaga kembar kita dan segala perbelanjaan Nisa dah buat nama emak untuk KWSP Nisa. Biarlah emak menjaga kembar kita sekurang-kurang terubat juga rindu emak sekeluarga pada Nisa nanti bila memandang kembar kita. Comel anak kita bang..Dania mengikut raut muka Abang…sejuk kata orang dan Nisa yakin mesti Danial akan mengikut iras raut wajah Nisa…Ibunya. ..sejuk perut Nisa mengandungkan mereka. Inilah peninggalan Nisa untuk Abang. Semoga Abang masih sudi menyayangi dan mengingati walaupun Nisa sudah tiada disisi Abang dan kembar kita.
Wassalam.
Salam terakhir dari Nisa Untuk Abang dan semua.
Doakan Nisa.
Ikhlas dari
Nur Nisa
Sabarlah Zakri, ALLAH maha berkuasa. Kuatkan semangat kau, kau masih ada Danial dan Dania” pujuk Azlan. Zakri hanya tunduk membisu. YA ALLAH,Nisa maafkan Abg Nisa. Zakri longlai dan diari ditangannya terlepas, sekeping gambar dihari pernikahan antara Zakri dan Nisa jatuh dikakinya dan Zakri mengambilnya. Belakang gambar itu tertulis “HARI YANG PALING GEMBIRA DAN BAHAGIA BUAT NISA DAN SEKELUARGA. NISA DISAMPING SUAMI TERCINTA SELEPAS DIIJABKABULKAN. SEMOGA KEGEMBIRAAN DAN KEBAHAGIAAN AKAN MENYELUBUNGI DIRI NISA DAN KELUARGA NISA HINGGA KEAKHIR HAYAT NISA.
Zakri terjelepuk dilantai dan berjuta penyesalan merangkumi seluruh tubuhnya. Zakri seakan orang hilang akal. Satu demi satu setiap perlakuannya terhadap isterinya Nisa seperti terakam dalam kotak otaknya…setiap perbuatannya. ..seperti wayang jelas terpampang.. . kenapalah sampai begini jadinya…kejamnya aku…Nisa, Nisa, Nisa maafkan Abang Nisa. Sewakt jenazah Nisa tiba dirumah suasana amat memilukan. Zakri tidak terdaya untuk melihat keluarga Nisa yang begitu sedih atas pemergian Nisa. Namun emak Nisa begitu tabah dan redha. Danial dan Dania sentiasa di dalam pangkuan neneknya.Saat akhir untuk melihat Jenazah Nisa, Zakri lihat muka Nisa tenang bersih dan Zakri kucup dahi Nisa buat kali terakhir seakan-akan lirik mata Nisa mengikuti wajah Zakri.
“Nisa Abang minta ampun dan maaf” bisik Zakri perlahan pada telinga Nisa sambil menangis dengan berjuta penyesalan menimpa-nimpa dirinya. Apabila Zakri meletakkan kembar disisi ibunya mereka diam dari tangisan dan tangan dari bedungan terkeluar seolah-olah mengusapi pipi ibu mereka buat kali terakhir dan terlihat oleh Zakri ada titisan airmata bergenang di tepi mata Nisa. Meleleh perlahan-lahan bila kembar itu diangkat oleh Zakri. Kembar menangis semula setelah diangkat oleh Zakri dan diberikan kepada neneknya.
Jenazah Nisa dibawa ke pusara dan ramai yang mengiringinya termasuklah kembar bersama. Walaupun kembar tidak tahu apa-apa tapi biarlah kembar mengiringi pemergian Nisa, Ibu mereka yang melahirkan mereka. Amat sedih ketika itu.. Zakri tidak mampu berkata apa-apa melainkan menangisi pemergian Nisa yang selama ini merana atas perbuatannya. Dan akhirnya Jenazah Nisa selamat dikebumikan. Satu persatu orang ramai meninggalkan kawasan pusara dan akhirnya tinggallah Zakri keseorangan di pusara Nisa yang merah tanahnya…meratapi pilu, berderai airmata dengan jutaan penyesalan …YA ALLAH , kuatkan hambamu ini YA ALLAH.
Hanya KAU sahaja yang mengetahui dosa aku pada Nisa….ampunkan aku YA ALLAH….akhirnya Zakri terlelap disisi pusara Nisa bermimpikan oleh Zakri,Nisa datang mencium tangan, mengucup dahi dan memeluk Zakri dengan lembut mulus. Zakri melihat Nisa tenang dan jelas kegembiraan terpancar dimuka Nisa Putih bersih. Nisa, Nisa, Nisa nak kemana Nisa, Nisa, Nisaaaaaa. Zakri terjaga dari lenanya. Terngiang-ngiang suara kembar menangis.
“YA ALLAH ,Zakri,Zakri bangun Zakri…dan hampir senja ni, mari kita balik, kenapa kau tidur kat sini Zakri?” tegur abang long , abang ipar Zakri. Dari jauh Zakri lihat emak dan kakak ipar mengendung kembar. Mereka menangis. Zakri berlari menuju ke arah kembarnya dan mengusap-usap ubun-ubun anak kembar dan secara automatik kembarnya diam dari menangis. “Danial, Dania anak ayah, ayah akan menjagamu nak…kaulah penyambung zuriat, darah daging ayah… emak, abang dan kakak ipar Zakri tersedu hiba dan mereka berlalu lemah meninggalkan pusara Nisa….
kimia-melda ahmad (lagu cinta kita 1432)
Kimia...
Aku mula jatuh hati kepadamu,
Setelah kau kata cinta padaku,
Masing-masing dulu kau punya pasangan,
Akhirnya kita bersama...
Pertama kali kita bersua bertentang mata,
Terasa ada kimia di antara kita,
Kau kucup pipiku,
Kau bisikkan cintamu,
Kau kata 'baby I love u'
Kau cairkan hatiku...
Bahagia...
Ku rasa,
Di saat kita berdua bersama,
Memandang bulan terang,
Menyaksi bintang-bintang,
Kau seru akulah pelangi cintamu...
lagu diary ku untuk mu sayang. <3
kehebatan seorang isteri.
TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?
Dia menghela nafas panjang.
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.
Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.
"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.
" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.
Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.
" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.
"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.
Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.
"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.
"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.
Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.
Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.
Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang.
"
Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.
Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...
Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.
---------------------------------------------------------------
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.
1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...
2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...
3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...
Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.
Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...
Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.
Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.
Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.